Khamis, 29 Julai 2010

Adab berpuasa dan solat terawih


bulan ramadhan akan datang xlama lagi..jadi pe persiapan kita nk menghadapi bulan yang berkat ini??disini saya sediakan sedikit peringatan untuk sama-sama kita hayati..

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

Rabu, 28 Julai 2010

Penawar Cinta Luka!


Apakah hati boleh diperbaiki, di rawat dan disembuhkan? Inilah persoalan yang dilontarkan dalam kuliah Ustaz baru-baru ini. Langit juga tidak selalu cerah, matahari kadang kala tiada bercahaya dan gerhana, bulan ada ketikanya tidak mengambang penuh, alam juga sekali sekala dipandang kabur sahaja. Begitulah hati manusia. Ada kalanya ianya resah dan gelisah. Gundah dan gulana. Nabi kita sendiri pernah mengalami kesedihan yang amat sangat bila mana kematian orang yang sangat di kasihinya, iaitu orang yang menjaganya di dalam dan diluar rumah.

Isteri tercinta Khadijah r.a.ha. dan bapa saudaranya Abu Talib yang sentiasa melindunginya berdakwah di luar rumah. Waktu pengikut tidak ramai dan mendapat tentangan, nabi di boikot, mereka inilah yang banyak membantu nabi. Bayangkan nabi menanggung kesedihan yang teramat dalam tahun tersebut.

Apatah lagi kita sebagai makhluk yang diciptakan Allah yang pastinya ada perasaan sedih. Binatang sekalipun tidak lalu makan bila bergaduh dengan pasangannya seperti memerang. Tak ada mood nak makan. Jadi persoalan yang dilontarkan tadi, apakah hati manusia boleh dirawat?. Kalau boleh bagaimana caranya.

Tidak diragukan hanya islam sahaja yang membawa kaedah untuk merawat hati manusia. Hanya dengan agama yang dimuliakan Allah ini sahaja. Hanya dengan mengingati Allah hati jadi tenang dan tenteram. Masalah jiwa, hati yang keluh kesah, kembali kepada Allah. Tiada satu perubatan yang boleh selesai masalah jiwa manusia. Di hatilah tersimpannya perkara-perkara asas yang penting seperti jantung, roh, nafsu dan akal.

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.
(Surah Al-Ra‘ad: 28)

Pengajaran yang dapat di petik dari peristiwa israk dan mikraj di mana Allah memperjalankan nabi s.a.w. untuk mempersaksikan kepada nabi kebenaran al-Quran tentang janji Allah syurga dan neraka dan hari pembalasan nanti. Ianya merupakan satu hiburan pada Nabi yang sedang mengalami saat kesedihan. Apalagi yang lebih istimewa selain bertemu dengan Allah. Bila mengingati Allah pun hati sudah merasa tenteram.
Zikir adalah menyebabkan Allah s.w.t. ingat kepada seseorang yang ingat kepadanya seperti mana disebutkan di dalam Al-Quran: FAZKURUUNII AZKURKUM ertinya "Kerana itu ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat pula kepadamu." Dan diterangkan pula di dalam hadis: MAN ZAKARANII FII NAFSIHII ZAKARTUHUU FII NAFSII ertinya, "Barangsiapa mengingati Aku di dalam hatinya, nescaya Aku mengingatinya pula di dalam hatiKu."

Dalam sebuah hadith qudsi:
“Aku (Allah) bersamanya (hamba-Ku) apabila dia berzikir kepada-Ku. Maka jika ia mengingati aku di dalam hatinya, nescaya Aku ingat pula kepadanya dalam diri-Ku.”
(Bukhari)

Orang yang beriman tenteram hati mereka bila berzikir/mengingati pada Allah. Memang benar, bila kita mengingati Allah, Allah akan mengingati kita. Bila kita lupa pada Allah maka Allah akan tinggalkan kita. Seorang ulama berkata kepada muridnya bahawa dia tahu bila Allah ingat padanya dan bila masa Allah tidak ingat padanya. Muridnya kepelikkan, hebatnya tuan gurunya. Lalu dia bertanya, bagaimana. Gurunya mengatakan senang sahaja.., katanya bukankah ayat Allah ada menyebut bahawa bila seseorang itu ingat Allah, Allah akan mengingati dia.

Tidak disangkal lagi, pastinya tiada masalah bila kita ada masalah kita kembali kepada Allah. Biarpun sahabat, kawan, keluarga, boss, tidak mahu mendengar masalah kita. Adukan masalah kita kepada Allah yang sentiasa sedia mendengar. Allah paling hebat memperdengarkan masalah hamba-hambanya. Apa yang lebih penting lagi selain Allah yang cukup tahu masalah kita. Maka kita tidak patut resah, kerana Allah sahaja yang boleh memberi penyelesaian tentang masalah kita.

Statistik yang disebut oleh Menteri Kesihatan di dada akhbar mengatakan masalah orang yang sakit jiwa di Malaysia membimbangkan, tidak lain hari ini berpunca kegagalan mendidik , membentuk dan membangun fizikal manusia sahaja. Ramai hari ini mencari ilmu untuk mengejar sijil, pangkat. Sedangkan solat, akhlak tidak dijadikan asas utama didikan. Tekanan yang diberi oleh ibubapa yang ingin anak skor A, pastinya membuat anak-anak sakit jiwa bila tidak dapat memperolehinya. Terlalu sangat mengejar pandangan manusia dari segi kedudukan, pangkat, sedangkan zohor, asar tidak solat sangat medukacitakan. Bila memandang apa kata orang, dan apa pandangan orang selamanya jiwa tidak akan tenang.

Bila kita lupa Allah, itu yang menyebabkan Allah meninggalkan kita dari rahmatnya. Orang beriman akan mencari Allah sebagai penyelesai masalah. Al-quran sendiri dijamin oleh Allah sebagai penawar dan penyembuh penyakit. Sesungguhnya sebaik-baik zikir ialah al-Quran.

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاء وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Dan Kami turunkan dari Al Qur'an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Surah israa' :82

Bila terlalu banyak dosa yang dibuat Allah tebus dengan dukacita. Pengubatnya taubat. Jika dosa dengan Allah bertaubatlah segera. Bila berdosa dengan manusia, maka minta maaf dan jumpa mereka. Jika tidak hati tidak akan tenang dan tenteram hingga ke saat kematian. Terus menerus akan dalam kedukacitaan. Walau diluar nampak segak dan gelak, azab duka cita di hati pastinya membakar jiwa. Itulah dosa yang dibuat pada anak adam yang memakan dalaman. Azabnya didunia sudah dirasakan.

Sayugialah kita semua kembali kepada Allah dengan sebenar-benar ketaqwaan. Wallahu a’lam....